Kesusahan dan kepayahan yang dilalui
dalam hidup adalah lumrah. Setiap daripada kita pasti melaluinya. Tidak
ada sesiapa pun yang berani untuk mengatakan bahawa mereka tidak pernah
berdepan dengan kesukaran di dalam hidup.
Anda, saya mahu pun sesiapa yang bergelar
manusia wajib untuk menempuh dengan beribu gulungan ombak bahtera
kehidupan. Kadangkala kita terolang ke kanan, terkadang teraling pula ke
kiri. Dan natijahnya, adakah kita kuat untuk melalui kesemuanya itu?
Tepuk dada tanyalah hati anda.
Ya, kita yang hidup ini perlu meneruskan
hidup. Kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Yang hidup perlu
teruskan misinya. Yang sudah berlalu maka biarkanlah ia pergi , usah
dikenang lagi. Ungkapan seperti ini sepertinya sudah menjadi kelaziman
kepada dunia kita pada hari ini. Dan saya amat sukakan kalimat seperti
ini.
Barang yang lepas usah dikenang. Betul?
Tuan, puan, abang, kakak dan adik-adik semua… hidup kita ini sememangnya
medan ujian untuk menguji sejauh mana kekuatan kita. Adakah kita ini
benar-benar kuat, atau adakah kita ini sekadar pelengkap kejadian
manusia di muka bumi ini.
Bukankah Tuhan juga ada menyebut di dalam kitab sucinya, kita ini sebagai manusia adalah sebaik-baik ciptaan kejadian. Disuruh untuk menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Jadi, perlukah untuk kita mencari bukti-bukti lain untuk menjelaskan
bahawa kita ini benar-benar ciptaan yang terbaik daripada Maha Pencipta?
Dan apabila kita telah sedia maklum
bahawa kitalah sebaik-baik ciptaannya, maka itu kita mesi tunjukkan
bahawa kita ini memang berhak untuk dikatakan sebaik-baik makhluk dan
kejadian..
Ya, bersedih itu tidak salah, tetapi
berlebih-lebih di atas kesedihan, itu yang salahnya. Jadi, tunjukkan
kepada dunia, buktikan kepada semua bahawa kitalah sebaik-baik ummat.
Kitalah yang berhak untuk menjadi pewaris ummat Muhhamd SAW.
Apa guna memandang cantiknya pakaian
orang, kalau pakaian sendiri pun tidak pernah dilihat, sesekali itu
lihatlah lebihnya apa ada pada diri kita, mungkin disitu terselit seribu
kecantikan yang tidak pernah kita terjangka.
Kita ini hebat, kita juga sebenarnya
mampu untuk mendepani setiap ujian daripada DIA, jadi mengapa mesti
mudah mengalah, percayalah pada diri sendiri, anda pasti berjaya.